Liverpool membuktikan kehebatannya selaku gergasi EPL dengan membelasah skuad harimau Malaya 6-3. Beraksi tanpa Steven Gerard dan Luis Suarez, The Reds memulakan kempen pra-musim mereka dengan kemenangan kedua berturut-turut walaupun mendapat tentangan sengit skuad Malaysia pada satu ketika. Liverpool bermula hambar walaupun menguasai permainan, namun memperoleh penalti pada minit ke-25 selepas Andy Carroll dijatuhkan oleh Mohd Asraruddin Putra. Pemain baru liverpool, Charlie Adam mudah menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee. Skuad Harimau Malaya yang diketuai oleh Mohd Safiq Rahim tidak berputus asa mencari gol penyamaan sehingga memperoleh sepakan percuma minit ke-42 seterusnya berjaya menghasilkan gol menarik untuk mengakhiri babak pertaman dengan terikat 1-1.

Pertukaran beberapa pemain Malaysia pada babak kedua termasuk penjaga gol yang menggantikan Khairul Fahmi Che Mat tampak seperti membuahkan hasil apabila Malaysia sering melancarkan serangan kilat di kedua-dua belah sayap namun kekentalan pertahanan The Reds mengecewakan ribuan penonton Malaysia. Kelekaan pertahanan Malaysia mengundang padah apabila membiarkan pintu gol Malaysia dibolosi 2 gol dalam tempoh hanya 2 minit menerusi jaringan David Ngog. Maxi Rodriguez yang tidak dipilih untuk membawa cabaran Argentina di Copa America menyumbat gol keempat Liverpool apabila mendapat hantaran lintang Emiliano Insua menewaskan Khairul Fahmi. Tuan rumah tidak berputus asa apabila bangkit menjaringkan 2 gol pada minit ke-79 dan min-81 menerusi penyerang sensari, Mohd Safee Sali.

Pemain Malaysia terus membuat serangan dari bahagian sayap melalui Mohd Amirulhadi sehingga terhasil beberapa peluang untuk menjaringkan gol oleh Mohd Safee Sali dan Mohd Asyaari, namun ketangkasan penjaga gol gantian Liverpool berjaya menggagalkan percubaan mereka. Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan jaringan 4-3, Liverpool berjaya menambah gol menerusi Maxi Rodriguez sekali lagi pada minit ke-90 sebelum penyerang Belanda, Dirt Kuyt menambah gol keenam dengan rembatan deras menewaskan penjaga gol Malaysia untuk mengakhiri perlawanan dengan 6-3.

p/s : Skuad Harimau Malaya perlu memperbaiki kelonggaran barisan pertahanan yang dilihat tidak dapat menyerap tekanan apabila diasak. Begitu juga dengan hantaran yang tidak begitu tepat seolah-olah menyepak bola tanpa arah tujuan. Ada juga beberapa pemain yang diihat tidak mampu menggalas misi penting negara untuk bertemu Singapura kelak. Diharap Datuk K.Rajagopal bersiap sedia untuk menghasilkan pemain berkelas dunia untuk perlawanan penting pada 23 Julai ini.